Dikisahkan
 bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel,
 maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan 
berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas 
kerana Allah SWT". Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka 
keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas 
kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka 
keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan 
kanan anak gadisnya sehingga putus.
 
 Semenjak dari peristiwa itu
 maka Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik 
kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin
 dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina. Anak 
gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. 
Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya 
sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
 
 Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis
 itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut 
dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka 
setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian 
dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.
 
 Pada suatu malam 
apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan 
bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya 
juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah 
merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya 
menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya 
melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa
 orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan 
tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
 
 Setelah si suami 
berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, 
walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba 
terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu 
wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti 
dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagiKu memberikan 
kembali akan tangan kananmu itu."
 
 Setelah gadis itu mendengar 
suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia 
mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun 
makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita 
sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia 
telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.
 
 Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
 "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah 
menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia 
telah memuliakan Allah SWT dan barangsiapa telah menjadi kemarahan 
tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan 
kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah SWT"
 
 Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud,
 "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin 
itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."